Donald Trump Dilabel 'Budak Mentah'

BEIJING – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merupakan “budak mentah dalam dunia diplomatik” dan perlu belajar untuk tidak melanggar batasan berkaitan isu penting melibatkan Beijing seperti perdaga­ngan dan Taiwan, kata media pemerintah semalam.

Media China memberi amaran bahawa perbualan telefon antara Trump dan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen serta tindakan beliau mengecam dasar Beijing baru-baru ini boleh menjejaskan hubungan antara Washington dengan Beijing.
“Tindakan provokasi yang mengganggu hubungan dua hala tidak dapat membantu menjadikan AS kembali hebat,” demikian menurut lidah pengarang akhbar People’s Daily.

Akhbar nasionalis China, Global Times pula menyiarkan berita muka surat penuh mengenai Trump yang didakwa ‘tidak mampu menutup mulut sendiri’ dan mengutuk ‘provokasi serta kepalsuan’ beliau.

Ia sebagai membalas komen Trump di Twitter Ahad lalu yang membidas China kerana menurunkan nilai mata wang yuan, mengenakan cukai ke atas import AS dan membina pangkalan tentera di Laut China Selatan.



Kecaman Trump itu menyusul selepas media China mengkritik beliau kerana menerima panggilan ucapan tahniah daripada Ing-wen sekali gus melanggar protokol diplomatik selama hampir 40 tahun sejak Presiden Jimmy Carter mengiktiraf dasar Satu China pada 1979.

China menganggap Taiwan sebahagian daripada wilayahnya dan menunggu masa untuk penyatuan.

Sementara itu, akhbar berbahasa Inggeris, China Daily menggelar Trump ‘budak mentah diplomatik’ dan menasihati beliau supaya bersikap sederhana agar tidak mengundang masalah kepada negaranya.
“Sebagai bakal Presiden, Trump boleh dimaafkan. Namun, situasi akan berbeza apabila beliau menjadi Presiden kelak.” kata akhbar berkenaan. 
Tag : Media Social
Back To Top